Sunday, April 12, 2009

abc







Monday, March 2, 2009

Ziarah Mahabbah Al-Qalam

Dengan diketuai oleh pengerusinya al-Fadhil Ustaz Fathul Bari Dato’ Mat Jaya atau mula mahsyur dengan kunyahnya Abu Islam, rombangan Al-Qalam turut terdiri daripada Abu Naim, Abu Nurin, Abu Fawzan dan Abu Dalila selaku penggerak utamanya. Selepas menandatangani buku pelawat, Pengerusi Teratak Rahmat memberikan taklimat berkenaan Teratak Rahmat.

Selepas itu rombongan Al-Qalam dibawa meninjau ruang-ruang operasi Teratak Rahmat seperti perpustakaan, makmal multimedia, bilik kuliah, bilik-bilik penghuni dan musolla. Acara lawatan dihangatkan lagi apabila sessi dialog dibuka.

Pengerusi Al-Qalam, yang juga seorang ulama Hadith muda yang sedang meningkat naik, memberikan pengenalan kepada NGO yang beliau asaskan. Daripada penjelasan beliau, dapatlah dimengerti bahawa secara asasnya Al-Qalam berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan manhaj Salaf al-Salih. Dalam program dan aktivitinya, Al-Qalam berpedomankan ”6T” iaitu Tawhid (keesaan Allah), Tasfiyyah (pemurnian kefahaman Islam), Tarbiyyah (pendidikan ajaran Islam yang sahih), Ta’awun (saling membantu), Ta’akhi (saling bersaudara) dan Tanassuh (saling menasihati). Oleh itu Al-Qalam amat menekankan penghayatan ilmu-ilmu syarie dengan mengadakan kuliah-kuliah ilmiah di pusatnya bertempat di Kampung Utan Kandis, Arau, Perlis serta pelbagai aktiviti lain yang sedang direncanakan.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi Al-Qalam di http://www.al-qalam.com.my/ . Sesudah bertukar-tukar pandangan dan idea, rombongan Al-Qalam diraikan dengan sajian minum petang dan majlis bersurai jam 4.30 petang.


Tetamu dari Al Kalam menjamu jamuan ringan yang disediakan oleh Teratak rahmat.


Teratak Rahmat sangat berterima kasih atas kesudian Al-Qalam menziarahi Teratak Rahmat. Mudah-mudahan lawatan Al-Qalam ini bukanlah ziarah mereka yang terakhir dan semoga jemputan untuk melakukan lawatan balas ke Madrasah Al-Qalam Utan Kandis akan dapat dipenuhi oleh Teratak Rahmat dalam kadar yang tidak terlalu lama. Diharapkan juga lawatan ini akan dapat membuka banyak ruang kerjasama antara dua organisasi ini dalam mengujudkan sinergi dakwah dan kebajikan demi mencari keredaan Allah dan seterusnya mengangkat martabat umat Islam di Perlis khususnya.


Tetamu Al Kalam mendengar penerangan sambil beborak sebelum berangkat pulang.

“Hotel Lima Bintang” Teratak Rahmat

Dalam Teratak Rahmat teruja menerima tetamu pertama yang rasminya sudi bermalam segebar makan sepinggan, terselit kerisauan yang bukan kecil. Apa tidaknya, Teratak Rahmat hanyalah bangsal serba sederhana yang jauh daripada segala kemewahan dan kemegahan IPTA milik penuh kerajaan Malaysia. Bagaimana mungkin kami menjadi tuan rumah yang cukup baik kepada mereka yang dimuliakan Allah kerana menuntut ilmu di jalan-Nya?

‘Tok Sah Dok Takutla..Depa OK’… Hanya jaminan air liur Ustaz Mat Malaya cuba ditelan sebagai penawar campur-baur perasaan yang tertekan kalau-kalau tuntutan akhlak Islam dan tatasusila pekerti Melayu menghormati tetamu tidak tertunai kelak.

Bermula dari petang 25 Januari sehingga malam 29 Januari 2009, maka lima ustaz muda Fashan, Ehsan, Afiq, Sulaiman dan Rauf telah check-in di ‘hotel lima bintang’ Teratak Rahmat. Mujur juga Anak-anak Rahmat pulang bercuti beberapa hari, dapatlah juga disediakan bilik yang lebih privacy kepada mereka... Kalau tidak, jawabnya tidurlah berkaparan di lantai surau. Belum cukup dengan ketidakselesaan tadi, macam-macam kerja pembinaan yang sedang dilakukan oleh warden-warden Teratak Rahmat menjadikan pondok kami ini bagaikan negeri dilanggar garuda.

Sudah menjadi suratan taqdir, rajin pula salah seorang daripada tetamu menginap pertama ini mencoretkan pengalaman beliau di Teratak Rahmat serta kembara ilmiah di sekitar Perlis. Persilakan lawati blognya : http://madrasahhadith.blogspot.com/2009/02/rahmat-allah-di-sebalik-teratak-rahmat.html Subhanallah – Maha Suci Allah. Pada-Nya berpangkal segala kebaikan dan hanya kepada-Nya jua kebaikan itu kembali. Rasanya tidak layak Teratak Rahmat menerima sanjungan setinggi langit daripada blog di atas. Pujian yang melampau boleh berakhir menjadi pendustaan, menyeludupkan sifat menunjuk dan bongkak, serta meracuni pihak yang dipuji agar leka daripada berusaha membaiki kelemahan….

Walau bagaimanapun Teratak Rahmat mengharapkan kata-kata yang indah itu menjadi doa tulus para tamu kami supaya Teratak Rahmat terus berjuang tanpa puas untuk memburu keredaan Allah dan memperoleh anugerah taqwa. Selamat meneruskan perjalanan di dunia ilmu wahai ulama’-ulama’ muda APIUM Nilam Puri. Sudilah berkunjung lagi ke Teratak Rahmat, moga pondok buruk ini tidak kalian lupakan….

“Patah Sayap Bertongkat Paruh”

Hazman Yang Daif
Unit Pendidikan Teratak Rahmat

16 Februari 2009

Saturday, February 7, 2009

Majlis Ukhwwah Teratak Rahmat

Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran tetamu utama iaitu Yang Dipertua Persatuan Al Islah, Datuk Alim Setia Ahmad Yusof Amin, Ustaz Yusof Hamid, Ustaz Abdul Wahab Abdullah, Ustaz Syed Abdullah, Ustaz Hazman Hassan dan kira-kira 50 orang tetamu jemputan yang lain.
Acara bermula selepas solat Asar berjemaah dengan bacaan firman Allah oleh Warden Tetap Teratak Rahmat, Saudara Zulkifli bin Ahmad dan disusuli dengan amanat yang cukup berkesan dari Dato Alim Setia Ahmad Yusof Amin.
Berikutnya taklimat berkenaan Teratak Rahmat, A.M.I dan I-Kids disampaikan oleh panel-panel utama yang terdiri daripada Cikgu Osman Husin ( Pengerusi Teratak Rahmat), Cikgu Wahab Yob (Pengerusi A.M.I ) dan Puan Rokiah Mat Rejab ( Wakil Pengerusi I-Kids ) dengan jelas sekali. Turut diselitkan juga pada masa itu pelancaran Blog Teratak Rahmat oleh Yang Dipertua Al-Islah Perlis dengan diiringi oleh Pengerusi Teratak Rahmat.
Seterusnya, acara disambung dengan lawatan ke Ruang Operasi Teratak Rahmat dan maklum balas mengenai program Asrama Teratak Rahmat. Majlis diakhiri dengan jamuan makan selera ala kampung dengan suasana meriah dan tetamu berpisah selepas selesai solat Maghrib bersama-sama.
Bersama-samalah kita berdoa dan menyumbang ilmu dan sedekah kepada Asrama Teratak Rahmat agar institusi ini dapat berkembang dan berjaya melahirkan ramai pemimpin dan ahli ilmu pada masa akan datang.


Perkembangan Asrama Teratak Rahmat

Kami di barisan perlaksana masih tidak dapat tidur lena dek semangat ingin menjayakan mimpi yang membuatkan kami tidak dapat tidur ini, setelah selesai membawa anak-anak TR membeli kelengkapan sekolah, kini kami masih berhempas pulas untuk membolehkan sebahagian anak-anak TR yang tidak dapat bersekolah kerana masalah-masalah dokumen yang tidak lengkap seperti tidak mempunyai My Kad, Sijil Nikah ibu bapa yang sah dan sebagainya.




Terima kasih kami ucapkan kepada mereka yang sudi menyumbang kepada TR untuk pengurusan asasi anak-anak-TR disini, walaupun dana yang ada belum cukup untuk TR membina tapak kukuh. Bantulah kami disini agar anak-anak miskin ini tidak kembali melalui hidup mereka yang perit dan gelap, usaha kami ini adalah ikhlas untuk mengelakkan mereka dari terjerumus ke lembah yang berdosa.



Disebabkan masalah-masalah yang kami hadapi, beberapa agenda terpaksa kami tangguhkan seperti membantu masalah lari dari rumah, buang bayi, keganasan rumah-tangga, penderaan kanak-kanak, kehamilan remaja, kahwin lari, krisis dengan keluarga dan sebagainya.
Sekiranya anda sudi dan terbuka hati, bersama-samalah dengan kami untuk membantu anak-anak miskin dan anak-anak yatim.

Persona Non Grata di Teratak Rahmat

Dalam keluarga besar Teratak Rahmat meniti hari-hari terawal dalam tahun 2009, barulah diinsafi bahawa ada persona non grata di kalangan Anak-anak Rahmat. Persona non grata di sini bukanlah judul sebuah filem cinta melayu yang ‘gagal’ di sinema.

Sebaliknya persona non grata di sini merujuk kepada ‘orang-orang yang tidak dialu-alukan’ kerana dianggap tidak bernegara (stateless). Apabila dianggap sebagai ‘tidak wujud’ maka persona non grata tidak mendapat hak dan keistimewaan sebagai warganegara meskipun mereka lahir di sesebuah negara itu.


Inilah nasib 5 Anak Rahmat iaitu adik Nur Farah Azlina binti Abd Rahim (8 tahun), adik Muhammad Shahirul bin Somsak (9 tahun), adik Muhammad Alias bin Abd Rahim ( 10 tahun), adik Mohammad Rizuan bin Somsak ( 10 tahun) dan adik Rosmati binti Abd Rahim ( 11 tahun). Walaupun lahir di bumi Malaysia, mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia kerana ibu-bapa adalah orang Melayu Patani yang memegang kerakyatan ThailandAda pula yang bernasib lebih buruk apabila mereka tiada dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Ekoran daripada keadaan ini, masalah paling besar yang dihadapi oleh Teratak Rahmat adalah untuk menyekolahkan mereka. Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, Teratak Rahmat perlu membayar RM20 sehari kepada Jabatan Pendidikan untuk setiap seorang daripada mereka

Ekoran daripada keadaan ini, masalah paling besar yang dihadapi oleh Teratak Rahmat adalah untuk menyekolahkan mereka. Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, Teratak Rahmat perlu membayar RM20 sehari kepada Jabatan Pendidikan untuk setiap seorang daripada mereka

Sebagai tindakan segera sementara menanti isu ini diselesaikan menerusi perundingan dengan pihak-pihak berwajib, Teratak Rahmat mengambil keputusan bertekad untuk terus membela nasib mereka semampu mungkin dan tidak menyerah kalah. Maka proses pendidikan mereka tidak diabaikan sama sekali. Oleh itu persona non grata di Teratak Rahmat kini menuntut ilmu di ’Sekolah Teratak Rahmat’ iaitu mereka diajar al-Qur’an, Fardu Ain dan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) oleh warden-warden Teratak Rahmat. ’Sekolah comel’ ini beroperasi serentak dengan masa pembelajaran rakan-rakan mereka berstatus warganegara yang pergi ke sekolah rendah berdekatan.

Kami di Teratak Rahmat berdoa supaya isu-isu persona non grata ini dapat diselesaikan dengan segera dan lancar. Bukan kerana kami hebat atau mahu mengejar populariti, akan tetapi kami memberanikan diri untuk cuba memikul tanggungjawab Fardu Kifayah membantu saudara-saudara seakidah yang hanya dipisahkan oleh sempadan geografi negara-bangsa.

Padahal nasib kita di Utara Malaysia (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) kini mungkin serupa dengan mereka kalau tidak ada Perjanjian Bangkok 1909 di mana wilayah bangsa Melayu di Utara Semenanjung telah dibahagi-bahagikan antara British dengan Siam. Maka persona non grata di Teratak Rahmat adalah anak-anak Melayu-Islam yang berasal daripada negeri-negeri Fatani, Jala, Menara, Setul dan Singgora yang diserahkan secara berat sebelah kepada Siam (kini Thailand). Bagi kami di Teratak Rahmat, kepiluan ini berganda apabila ada di antara persona non grata ini adalah anak-anak yatim yang mana ayahanda mereka berpulang ke rahmatullah sebagai mujahidin dalam perjuangan menentang penjajahan Thai di Fatani. Kalau bukan kita saudara seIslam dan sebangsa Melayu yang membela nasib mereka, maka siapa lagi ?.

Tanpa pembelaan sewajarnya, kehidupan mereka yang serba daif dalam aspek ekonomi akan menjadi lebih parah apabila ’kisah hidup’ mereka biasanya akan bernoktah kepada kemiskinan dalam ilmu dan iman. Maka tidaklah menghairankan apabila suatu jumlah yang signifikan dalam kategori persona non grata ini akhirnya meningkat dewasa dan menjadi sebahagian daripada masalah sosial khususnya di kawasan sempadan Perlis-Thailand. Hal ini berlaku apabila mereka bergiat dalam aktiviti-aktiviti yang salah di sisi undang-undang seperti bohsia dan pelacuran, ’Tentera Semut’ atau ahli sindiket penyeludupan, ’tekong darat’ yang menyeludup pendatang tanpa izin, gangster, pembunuh upahan dan pelbagai jenayah lagi demi sesuap nasi.

Kita di Malaysia lebih beruntung daripada mereka. Sesungguhnya tiada perbezaan antara kita dengan mereka kerana kita beribadah kepada Tuhan yang sama, bernabikan rasul yang sama, menghadap kiblat yang sama dan bertutur dengan bahasa yang serupa. Akan tetapi apalah erti persamaan dan kedekatan jarak ini kalau kita yang lebih bernasib baik ini lepas tangan, hanya sekadar menonton dan memuntahkan ’kesian depa’ tetapi tidak melakukan apa-apa bagi meringankan penderitaan mereka ? Hal ini bukannya mainan lagi apabila ia melibatkan persoalan maruah umat Islam.

Harapan kami di Teratak Rahmat ialah semoga aspirasi persaudaraan berasaskan tauhid yang menjadi pegangan kami dapat dicernakan oleh semua pihak dan kita dapat sama-sama berganding bahu untuk mengubah situasi negatif ini menjadi lebih baik. Jika kita menangisi nasib anak-anak Palestin mangsa pembunuhan Yahudi Zionis di Gaza yang ribuan batu jaraknya, janganlah sampai dilupakan anak-anak kurang bernasib baik yang hidup melarat di sekeliling kita. Wallahu A’lam

”Patah Sayap Bertongkat Paruh”

Hazman Yang Daif

Unit Pendidikan Teratak Rahmat

19 Januari 2009





P/S Glosari:


Anak Rahmat : penghuni Teratak Rahmat yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yatim dan miskin

Kepada pembaca budiman, khususnya yang mengerti segala ‘lorong’ dan ‘lohong’ dalam menangani isu persona non grata ini, silalah berhubung dengan Teratak Rahmat dengan kadar segera.

Friday, December 12, 2008

Anak Rahmat

Allah berfirman:
Maksudnya: ‘Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalahkamu semua dikembalikan’

(al-Baqarah : 245)


Rasulullah bersabda:
Maksudnya: ‘Sesungguhnya seorang hamba bersedekah dengan sekantung (roti) lalu sedekahnya itu berkembang di sisi Allah menjadi bertambah banyak sehingga (besarnya) seperti Gunung Uhud’


(al-Tabrani)

ANAK RAHMAT (AR) adalah satu lagi program sedekah yang menjadi jambatan antara penyumbang dengan anak-anak kurang bernasib baik di Teratak Rahmat. ANAK RAHMAT juga menjadi mekanisme pembangunan pendidikan khususnya bagi memastikan penghuni-penghuni Teratak Rahmat yang terpilih kerana berpotensi dalam pendidikan akademik dan pendidikan agama dapat berjaya dengan lebih cemerlang meskipun mereka berasal dari kawasan luar bandar dan daripada keluarga yang dibelenggu lingkaran ganas kemiskinan. Hal ini dimungkinkan dengan adanya jaminan tajaan atau bantuan kewangan daripada keluarga angkat sebagai penaja pendidikan.

Program ini menggunakan konsep Anak-Keluarga Angkat bagi mengujudkan semangat kekeluargaan yang sejati. Penghuni Teratak Rahmat yang dipilih menyertai program ini digelar ANAK RAHMAT, dan pihak yang menyumbang akan dipanggil sebagai KELUARGA RAHMAT di samping menjadi SAHABAT TERATAK RAHMAT.

Objektif Khusus ANAK RAHMAT:

1. Menyalurkan bantuan kewangan untuk menampung perbelanjaan persekolahan, pendidikan agama dan latihan kemahiran yang bersesuaian
Bantuan kewangan juga digunakan untuk pembelian buku pelajaran, wang saku ke sekolah, alat tulis, uniform sekolah, pakaian Hari Raya, tuisyen subjek akademik dan kelas agama khas bagi ANAK RAHMAT yang ditaja.

2. Memastikan penghuni Teratak Rahmat yang berpotensi dalam pendidikan dalam menamatkan pengajian sehingga tamat peringkat ijazah pertama sekurang-kurangnya

3. Membantu dalam memberi motivasi intrinsik dan ekstrinsik kepada penghuni Teratak Rahmat untuk mempertingkatkan prestasi akademik dan agama.

4. Keluarga Rahmat sebagai mentor dapat saling berkerjasama dengan Teratak Rahmat, dalam memberikan perangsang, petunjuk, nasihat dan bimbingan bagi membentuk jatidiri dan ciri-ciri kepimpinan ANAK RAHMAT

Kumpulan Sasaran:

Calon ANAK RAHMAT adalah penghuni Teratak Rahmat terpilih, yang berpotensi dalam akademik dan agama tetapi datangnya daripada keluarga yang daif, anak yatim, anak ibu tunggal, daripada keluarga yang memiliki ramai tanggungan dan khususnya dari luar bandar. Bakat kepimpinan juga merupakan satu lagi ciri untuk sebarang penghuni Teratak Rahmat disenarai pendek sebagai ANAK RAHMAT

Prosedur Pengambilan ANAK RAHMAT:

Bakal Keluarga Rahmat mengisi borang permohonan dan menetapkan kriteria ANAK RAHMAT yang diminati. Pengurusan Teratak Rahmat akan mengemukakan calon ANAK RAHMAT dan perbincangan akan diadakan sehingga Keluarga Rahmat bersetuju untuk memuktamadkan penerimaan ANAK RAHMAT tersebut.

Selepas itu, Keluarga Rahmat mula menaja ANAK RAHMAT tersebut. Buat masa ini, jumlah tajaan yang diperlukan bagi seorang (1) ANAK RAHMAT ialah RM250 sebulan. Walau bagaimanapun, ANAK RAHMAT tersebut masih tetap tinggal di Teratak Rahmat.

Laporan prestasi akan dihantar kepada Keluarga Rahmat secara berkala. Keluarga Rahmat juga dialu-alukan untuk datang melihat kehidupan ANAK RAHMAT mereka dalam realiti sebenar kehidupan di Teratak Rahmat.

Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa. Sumbangan pula boleh disalurkan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi


Saudara Hazman Hassan (K/U Pendidikan) di talian 019-4459382 atau
Azwar Ibrahim (Urusetia) di talian 019-4935075 atau
Email di teratakrahmat@gmail.com.



KLIK DI SINI UNTUK DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN ANAK RAHMAT
_________________________________________________________________


ANJUNG MAKLUMAT

Bantuan Operasi Awal

Anak Rahmat

Rayuan Sedekah Korban 1428 H

SEDANG DICARI : Peralatan Dan Barangan Yang Diperlukan Oleh Teratak Rahmat

Pengisian Teratak Rahmat

Sumber Ekonomi Teratak Rahmat

Perlaksanaan Teratak Rahmat

Pengiktirafan Teratak Rahmat

Tempat Teratak Rahmat

Kepentingan Teratak Rahmat

Objektif Teratak Rahmat

Nama Teratak Rahmat

Siapakah Penghuni Teratak Rahmat

Hubungi Teratak Rahmat

Perkembangan Teratak Rahmat

Jadilah Sahabat Teratak Rahmat

Sumbangan Kepada Teratak Rahmat

Bagaimana Memberi Sumbangan

Program-program Kami

Sejarah & Latar Belakang

Kata-kata Aluan Pengerusi

Apakah Teratak Rahmat?