Saturday, February 7, 2009

Persona Non Grata di Teratak Rahmat

Dalam keluarga besar Teratak Rahmat meniti hari-hari terawal dalam tahun 2009, barulah diinsafi bahawa ada persona non grata di kalangan Anak-anak Rahmat. Persona non grata di sini bukanlah judul sebuah filem cinta melayu yang ‘gagal’ di sinema.

Sebaliknya persona non grata di sini merujuk kepada ‘orang-orang yang tidak dialu-alukan’ kerana dianggap tidak bernegara (stateless). Apabila dianggap sebagai ‘tidak wujud’ maka persona non grata tidak mendapat hak dan keistimewaan sebagai warganegara meskipun mereka lahir di sesebuah negara itu.


Inilah nasib 5 Anak Rahmat iaitu adik Nur Farah Azlina binti Abd Rahim (8 tahun), adik Muhammad Shahirul bin Somsak (9 tahun), adik Muhammad Alias bin Abd Rahim ( 10 tahun), adik Mohammad Rizuan bin Somsak ( 10 tahun) dan adik Rosmati binti Abd Rahim ( 11 tahun). Walaupun lahir di bumi Malaysia, mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia kerana ibu-bapa adalah orang Melayu Patani yang memegang kerakyatan ThailandAda pula yang bernasib lebih buruk apabila mereka tiada dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Ekoran daripada keadaan ini, masalah paling besar yang dihadapi oleh Teratak Rahmat adalah untuk menyekolahkan mereka. Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, Teratak Rahmat perlu membayar RM20 sehari kepada Jabatan Pendidikan untuk setiap seorang daripada mereka

Ekoran daripada keadaan ini, masalah paling besar yang dihadapi oleh Teratak Rahmat adalah untuk menyekolahkan mereka. Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, Teratak Rahmat perlu membayar RM20 sehari kepada Jabatan Pendidikan untuk setiap seorang daripada mereka

Sebagai tindakan segera sementara menanti isu ini diselesaikan menerusi perundingan dengan pihak-pihak berwajib, Teratak Rahmat mengambil keputusan bertekad untuk terus membela nasib mereka semampu mungkin dan tidak menyerah kalah. Maka proses pendidikan mereka tidak diabaikan sama sekali. Oleh itu persona non grata di Teratak Rahmat kini menuntut ilmu di ’Sekolah Teratak Rahmat’ iaitu mereka diajar al-Qur’an, Fardu Ain dan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) oleh warden-warden Teratak Rahmat. ’Sekolah comel’ ini beroperasi serentak dengan masa pembelajaran rakan-rakan mereka berstatus warganegara yang pergi ke sekolah rendah berdekatan.

Kami di Teratak Rahmat berdoa supaya isu-isu persona non grata ini dapat diselesaikan dengan segera dan lancar. Bukan kerana kami hebat atau mahu mengejar populariti, akan tetapi kami memberanikan diri untuk cuba memikul tanggungjawab Fardu Kifayah membantu saudara-saudara seakidah yang hanya dipisahkan oleh sempadan geografi negara-bangsa.

Padahal nasib kita di Utara Malaysia (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) kini mungkin serupa dengan mereka kalau tidak ada Perjanjian Bangkok 1909 di mana wilayah bangsa Melayu di Utara Semenanjung telah dibahagi-bahagikan antara British dengan Siam. Maka persona non grata di Teratak Rahmat adalah anak-anak Melayu-Islam yang berasal daripada negeri-negeri Fatani, Jala, Menara, Setul dan Singgora yang diserahkan secara berat sebelah kepada Siam (kini Thailand). Bagi kami di Teratak Rahmat, kepiluan ini berganda apabila ada di antara persona non grata ini adalah anak-anak yatim yang mana ayahanda mereka berpulang ke rahmatullah sebagai mujahidin dalam perjuangan menentang penjajahan Thai di Fatani. Kalau bukan kita saudara seIslam dan sebangsa Melayu yang membela nasib mereka, maka siapa lagi ?.

Tanpa pembelaan sewajarnya, kehidupan mereka yang serba daif dalam aspek ekonomi akan menjadi lebih parah apabila ’kisah hidup’ mereka biasanya akan bernoktah kepada kemiskinan dalam ilmu dan iman. Maka tidaklah menghairankan apabila suatu jumlah yang signifikan dalam kategori persona non grata ini akhirnya meningkat dewasa dan menjadi sebahagian daripada masalah sosial khususnya di kawasan sempadan Perlis-Thailand. Hal ini berlaku apabila mereka bergiat dalam aktiviti-aktiviti yang salah di sisi undang-undang seperti bohsia dan pelacuran, ’Tentera Semut’ atau ahli sindiket penyeludupan, ’tekong darat’ yang menyeludup pendatang tanpa izin, gangster, pembunuh upahan dan pelbagai jenayah lagi demi sesuap nasi.

Kita di Malaysia lebih beruntung daripada mereka. Sesungguhnya tiada perbezaan antara kita dengan mereka kerana kita beribadah kepada Tuhan yang sama, bernabikan rasul yang sama, menghadap kiblat yang sama dan bertutur dengan bahasa yang serupa. Akan tetapi apalah erti persamaan dan kedekatan jarak ini kalau kita yang lebih bernasib baik ini lepas tangan, hanya sekadar menonton dan memuntahkan ’kesian depa’ tetapi tidak melakukan apa-apa bagi meringankan penderitaan mereka ? Hal ini bukannya mainan lagi apabila ia melibatkan persoalan maruah umat Islam.

Harapan kami di Teratak Rahmat ialah semoga aspirasi persaudaraan berasaskan tauhid yang menjadi pegangan kami dapat dicernakan oleh semua pihak dan kita dapat sama-sama berganding bahu untuk mengubah situasi negatif ini menjadi lebih baik. Jika kita menangisi nasib anak-anak Palestin mangsa pembunuhan Yahudi Zionis di Gaza yang ribuan batu jaraknya, janganlah sampai dilupakan anak-anak kurang bernasib baik yang hidup melarat di sekeliling kita. Wallahu A’lam

”Patah Sayap Bertongkat Paruh”

Hazman Yang Daif

Unit Pendidikan Teratak Rahmat

19 Januari 2009





P/S Glosari:


Anak Rahmat : penghuni Teratak Rahmat yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yatim dan miskin

Kepada pembaca budiman, khususnya yang mengerti segala ‘lorong’ dan ‘lohong’ dalam menangani isu persona non grata ini, silalah berhubung dengan Teratak Rahmat dengan kadar segera.

No comments: