Monday, March 2, 2009

“Hotel Lima Bintang” Teratak Rahmat

Dalam Teratak Rahmat teruja menerima tetamu pertama yang rasminya sudi bermalam segebar makan sepinggan, terselit kerisauan yang bukan kecil. Apa tidaknya, Teratak Rahmat hanyalah bangsal serba sederhana yang jauh daripada segala kemewahan dan kemegahan IPTA milik penuh kerajaan Malaysia. Bagaimana mungkin kami menjadi tuan rumah yang cukup baik kepada mereka yang dimuliakan Allah kerana menuntut ilmu di jalan-Nya?

‘Tok Sah Dok Takutla..Depa OK’… Hanya jaminan air liur Ustaz Mat Malaya cuba ditelan sebagai penawar campur-baur perasaan yang tertekan kalau-kalau tuntutan akhlak Islam dan tatasusila pekerti Melayu menghormati tetamu tidak tertunai kelak.

Bermula dari petang 25 Januari sehingga malam 29 Januari 2009, maka lima ustaz muda Fashan, Ehsan, Afiq, Sulaiman dan Rauf telah check-in di ‘hotel lima bintang’ Teratak Rahmat. Mujur juga Anak-anak Rahmat pulang bercuti beberapa hari, dapatlah juga disediakan bilik yang lebih privacy kepada mereka... Kalau tidak, jawabnya tidurlah berkaparan di lantai surau. Belum cukup dengan ketidakselesaan tadi, macam-macam kerja pembinaan yang sedang dilakukan oleh warden-warden Teratak Rahmat menjadikan pondok kami ini bagaikan negeri dilanggar garuda.

Sudah menjadi suratan taqdir, rajin pula salah seorang daripada tetamu menginap pertama ini mencoretkan pengalaman beliau di Teratak Rahmat serta kembara ilmiah di sekitar Perlis. Persilakan lawati blognya : http://madrasahhadith.blogspot.com/2009/02/rahmat-allah-di-sebalik-teratak-rahmat.html Subhanallah – Maha Suci Allah. Pada-Nya berpangkal segala kebaikan dan hanya kepada-Nya jua kebaikan itu kembali. Rasanya tidak layak Teratak Rahmat menerima sanjungan setinggi langit daripada blog di atas. Pujian yang melampau boleh berakhir menjadi pendustaan, menyeludupkan sifat menunjuk dan bongkak, serta meracuni pihak yang dipuji agar leka daripada berusaha membaiki kelemahan….

Walau bagaimanapun Teratak Rahmat mengharapkan kata-kata yang indah itu menjadi doa tulus para tamu kami supaya Teratak Rahmat terus berjuang tanpa puas untuk memburu keredaan Allah dan memperoleh anugerah taqwa. Selamat meneruskan perjalanan di dunia ilmu wahai ulama’-ulama’ muda APIUM Nilam Puri. Sudilah berkunjung lagi ke Teratak Rahmat, moga pondok buruk ini tidak kalian lupakan….

“Patah Sayap Bertongkat Paruh”

Hazman Yang Daif
Unit Pendidikan Teratak Rahmat

16 Februari 2009

No comments: